Diserbu dan dikompaun oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai syarikat Scammer pada oktober 2023 akhirnya syarikat East West One Consortium Bhd (EWOCB) dan East West Horizon Plantation Berhad (EWHPB) yang dikuasai oleh Dr. Jessie Tang telah didakwa di Mahkamah Sesyen pada 12 September 2024 atas tiga pertuduhan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 45(1)(f) Akta Skim Kepentingan 2016.
Berdasarkan kertas pertuduhan, East West Horizon Plantation Berhad (EWHPB), skim kongsi tani itu yang dikenali sebagai East West Horizon Planter’s Scheme (EWHPS) bersama pegawainya, Dr. Jessie Tang dan Terrence Mark didapati gagal mematuhi klausa 20.1 Surat Ikatan Amanah bertarikh 24 Disember 2012 yang dibaca bersama Surat Ikatan Amanah Tambahan Kedua bertarikh 23 Januari 2015.
SSM dalam kenyataan berkata, EWHPB dikatakan telah gagal untuk memasukkan wang berjumlah RM9.65 juta ke dalam Reserve Fund Trust Account milik pemegang amanah, Pacific Trustee Berhad pada 1 Januari 2023 bagi tujuan pembayaran Monthly Net Return suku tahun pertama 2023 kepada para pelabur skim EWHPS.
“Ketiga-tiga tertuduh memohon untuk dibicarakan setelah pertuduhan dibacakan.
“Hakim Norina Zainol Abidin menetapkan tarikh 15 Oktober 2024 untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan pertuduhan terhadap EWHPB dibacakan,” katanya
Menurut SSM, Seksyen 45(2) Akta Skim Kepentingan 2016 memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM500,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai-pegawai pendakwa daripada SSM, Mohd Zulkhairi Kamaruzaman, Faizal Mahdi Mahmud dan Liyana Amira Kamaludin manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili oleh peguam, Mohd Haziq Dhiauddin Razali.
“SSM ingin mengingatkan orang awam supaya sentiasa berwaspada dan mendapatkan maklumat serta pengesahan lanjut daripada pihak SSM atau badan penguatkuasaan lain mengenai skim pelaburan atau kepentingan yang mencurigakan yang ditawarkan oleh mana-mana syarikat atau perniagaan,” jelasnya.
Sementara itu, EWHPB dan pegawainya bersedia untuk mempertahankan tuduhan tersebut di mahkamah, kata firma itu dalam kenyataan kepada media
“Kami ingin memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan dan pelabur bahawa EWHPB akan terus bekerjasama sepenuhnya dengan siasatan yang sedang dijalankan oleh SSM.
“Kami memahami kepentingan proses ini dan komited untuk memberikan bantuan yang diperlukan bagi memastikan semakan yang adil dan telus terhadap situasi ini,” ujarnya.
East West One Group diasaskan Dato’ Dr Jessie syarikat ‘Scammer’
East West One Group yang telah dikompaun RM1 juta pada 25 September 2023 bawah seksyen 46(1) ASK 2016 jelas merupakan sebuah syarikat pelaburan ‘scammer’. Tidak menghairankan jika syarikat ini gagal memasukkan wang berjumlah RM9.65 juta ke dalam Reserve Fund Trust Account milik pemegang amanah, Pacific Trustee Berhad pada 1 Januari 2023 bagi tujuan pembayaran Monthly Net Return memandangkan kumpulan syarikat ini mengisytiharkan kerugian setiap tahun. Dengan aset lebih RM50 juta, hasil jualan hampir RM9 juta setahun namun kerugian RM50.3 juta. Nilai ini mungkin berubah untuk tahun 2023.