Pendakwaan Datuk Teo Wee Cheng rakan baik Muhyiddin rabu lalu atas dakwaan menerima rasuah wang RM12.8 juta kerana projek Jana Wibawa tidak menjejaskan syarikat miliknya SHH Resources Holdings Berhad.
Datuk Teo Wee Cheng Pengarah Urusan SHH RESOURCES HOLDINGS BHD meletak jawatan pada 21 Februari sehari sebelum beliau didakwa di Mahkamah Sesyen pada rabu atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM12.8 juta berkaitan projek Jana Wibawa, antara Julai 2021 hingga Oktober 2022.
Bagaimanapun Datuk Teo Wee Cheng mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Teo Wee Cheng didakwa atas dua pertuduhan meminta wang suapan RM3.9 juta dan RM7.4 juta, yang juga 10 peratus daripada harga kontrak membabitkan program Jana Wibawa yang bernilai RM39.7 juta dan RM74 juta.
Ia masing-masing bagi projek menaiktaraf jalan pintasan dari Jalan Sawah Baru ke Tenang Stesen, di Segamat dan membina jalan dari Kampung Belukar Durian ke Persimpangan Felda Waha, di Sedili, Kota Tinggi.
Ia sebagai upah bagi membantu Syarikat Muar Usaha Bakti Sdn Bhd mendapatkan projek itu selain mendorong Syarikat Liku Prestasi Sdn Bhd yang memperoleh projek di Kota Tinggi supaya melantik Syarikat TS Dynamic Construction Sdn Bhd sebagai sub kontraktor.
Perbuatan itu didakwa dilakukan Wee Cheng di Pejabat Trimetro Development Sdn. Bhd, Jalan Majidi, Muar antara Julai 2021 dan Mei hingga Jun 2022.
Wee Cheng juga didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta bagi projek menaiktaraf jalan pintasan dari Jalan Sawah Baru ke Tenang Stesen, di Segamat dan membina jalan dari Kampung Belukar Durian ke Persimpangan Felda Waha, di Sedili, Kota Tinggi.
Semua kesalahan itu pula didakwa dilakukan di syarikat miliknya di Kawasan Perindustrian Pagoh, Muar antara 20 Ogos 2021 sehingga 15 November 2022.
Kesemua pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) dan SHH Resources Berhad
Nama Datuk Teo Wee Cheng pernah didedahkan di mahkamah dalam perbicaraan kes rasuah syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd pada tahun lepas melibatkan kes Datuk Seri Zahid Hamidi.
Dalam kes UKSB beberapa nama disebut termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin Presiden Bersatu juga menerima sumbangan dana politik (sebanyak RM1.3 juta) daripada UKSB menerusi rakan baiknya, Datuk Teo Wee Cheng yang juga Pengarah Urusan SHH Resources Berhad.
Nama-nama lain ialah Khairy Jamaluddin (terima RM3.7 juta), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Rupanya ahli lembaga pengarah UKSB dan Datuk Teo Wee Cheng SHH Resources mempunyai hubungan yang rapat juga bukan sekadar memberikan komisen kepada Muhyiddin Yassin dan bekas para menteri tetapi pemilikan saham dalam SHH Resources Holdings Berhad.
Selepas sahaja Datuk Teo Wee Cheng didakwa SPRM di mahkamah saham SHH Resources Berhad melonjak naik melebihi 10 peratus dari harga 0.56 sen kepada 0.62 sen sesaham.
Semakan juga menunjukkan Pengarah UKSB iaitu Harry Lee Vui Khiun memiliki 7.8 juta saham dan Wan Quoris Shah bin Wan Abdul Ghani memiliki 1.7 juta saham sekaligus merupakan pemegang saham keempat dan kelapan terbesar dalam syarikat SHH Resources Berhad milik Datuk Teo Wee Cheng ini. Dalam tempoh 4 hari saja meraih ratusan ribu dari kenaikan harga saham secara mendadak
Teo Wee Cheng dan Muhyiddin dikatakan punya hubungan rapat kerana sebelum ini abang Muhyiddin Allahyarham Tan Sri Abdul Aziz Bin Mohd Yassin merupakan Pengerusi SHH Resources Holdings Berhad sejak tahun 2001 hinggalah meletak jawatan pada tahun 2017.
Nampaknya isu Pengarah Syarikat jika terlibat rasuah juga tidak semestinya menjatuhkan saham syarikat senarai awam bergantung kepada prestasi syarikat. Syarikat SHH Resources Holdings Berhad merupakan syarikat yang kukuh. Tidaklah menghairankan pemilik UKSB sama-sama beri rasuah kepada Menteri merupakan rakan baik Teo Wee Cheng membeli saham SHH Resources Holdings Berhad